Tips Penjagaan
Sutera
1. Batik sutera merupakan fabrik yang mahal dan
bernilai. Ramai dikalangan kita menghabiskan ratusan bahkan ribuan ringgit
untuk memilikinya. Jadi wajarlah bagi kita untuk menjaga fabrik sutera batik
kita dengan baik.
2. Rekacorak sutera batik mengambil masa yang lama
untuk disiapkan. Batik yang baik terhasil dari ketelitian, kehalusan,
pengwarnaan, cuaca dan seni tangan pelukisnya.
3. Sutera adalah sejenis fabrik halus yang sensitif
dan mudah luntur (sinar suteranya) jika tidak dijaga dengan baik.
4. Pengwarnaan keatas sutera batik berlaku dengan
penyerapan warna ke dalam serat-serat benangnya. Ia berbeza dengan fabrik
cetakan biasa yang berlaku dengan kaedah sebaran.
5. Antara elemen penting yang perlu dititikberatkan
semasa membasuh sutera batik adalah pH air, jenis sabun dan suhu air.
6. Elakkan merendam sutera batik terlalu lama didalam
air. Ia boleh menyebabkan warna sutera tersebut cepat luntur. Tempoh masa yang
terbaik adalalah 15-30 minit rendaman di dalam air suam (30-50 darjah C)
7. Elakkan
penggunaan serbuk pencuci biasa (seperti yang terdapat dipasaran).
Serbuk-serbuk pencuci ini adalah punca 'warna menjadi pudar dan luntur'.
Sebagai alternatif, gunakan syampu bayi (3 sudu syampu : 1 baldi air).
8. Jika anda
mengamalkan basuhan tangan, elakkan penggunaan berus. Berus akan merosakkan
urat benang sutera yang sangat lembut.
9. Kotoran yang sangat degil mungkin mengecewakan
pemakai sutera. Sedegil mana pun kotoran sutera nada, elakkan daripada mengguna
peluntur. Agen peluntur akan mereputkan sutera, bahkan mungkin membocorkan
terus sutera kesayangan anda.
10. Selepas membasuh, bilas sutera batik anda samada
menggunakan air yang sedikit berasid mahupun sedikit beralkali. pH yang terbaik
adalah sekitar 6 - 8 pH. pH air yang betul dapat memastikan sutera anda menjadi
lembut dan bersinar.
11. Cuka dan limau adalah contoh-contoh sumber asid.
Garam pula bersifat alkali. Ketiga-tiga bahan ini boleh digunakan untuk
mengubah pH air bilasan. Nisbah yang baik adalah 1 sudu : 1 baldi air.
12. Sekarang terdapat alternatif yang lebih mudah
untuk pengguna. Pelembut-pelembut kain dapat mengurangkan tugas bilasan ini
untuk menjadikan sutera anda lebih lembut, bersinar dan menambah seri pada
warna-warna batik.
13. Namun anda harus ingat bahawa fabrik sutera tidak
boleh direndam terlalu lama di dalam air bilasan (samada mengandungi garam atau
cuka atau pelembut biasa). 10 - 15 minit sudah memadai.
14. Setelah dibilas, keringkan fabrik sutera anda
dengan menyidainya jauh dari pancaran matahari.
15. Elakkan daripada memerah fabrik sutera anda
kerana ia akan memintal dan merosakkan aluran urat benang. Jika fabrik sutera
anda perlu dikeringkan dengan cepat, masukkan ia di antara dua kain tuala, dan
ditekan atau diramas.
16. Kelicinan menseterika fabrik sutera bergantung
kepada kandungan kelembapan sewaktu fabrik tersebut digosok. Sewaktu menggosok,
panaskan seterika terlebih dahulu mengikut suhu yang dikhaskan untuk kain
sutera. Jika seterika tidak cukup panas, fabrik tidak akan menjadi licin,
sebaliknya jika seterika terlalu panas, fabrik akan rosak dan berkedut.
1 comment:
GUNA PRODUK KAMI IAITU ARFA SILKCARE TOK KUALITI YANG TERJAMIN..
Post a Comment